70 Premis Perniagaan Dalam Bangunan Pusat Belah-belah, Diperiksa
Sebanyak 70 buah premis perniagaan dalam bangunan pusat beli-belah telah diperiksa oleh DBKK dalam satu operasi bersepadu kelmarin, 18 April 2024. Operasi bersepadu ini merupakan pemeriksaan Siri 1 yang bertujuan untuk memeriksa pematuhan undang-undang yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966.
DBKK telah mengambil tindakan kompaun dan memberi teguran kepada pemilik-pemilik premis yang didapati melakukan kesalahan di bawah Undang-undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966, seperti tidak mempamerkan lesen perniagaan, lesen perniagaan telah tamat tempoh dan lain-lain.
Diketuai oleh Encik Rozie Khan Halik, Pengarah Jabatan Pelesenan DBKK, operasi bersepadu ini dilaksanakan bersama anggota-anggota Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) DBKK.
Semua pemilik premis perniagaan adalah dinasihati agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. DBKK akan terus melaksanakan pemeriksaan lanjut ke atas premis-premis perniagaan dalam pusat beli-belah yang lain, dari masa ke masa.
Ikuti rangkaian media sosial rasmi DBKK - Facebook dan Instagram untuk perkembangan terkini.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Mengambil Tindakan Tegas Kepada Pengusaha Premis Makanan
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus meningkatkan penguatkuasaan dan pemeriksaan ke atas premis-premis makanan di Bandaraya Kota Kinabalu. Ini bagi menjamin tahap keselamatan makanan yang dijual dan disediakan adalah selamat untuk dimakan.
Menurut Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, sejumlah 506 premis makanan telah diperiksa dan digredkan dalam tempoh Januari hingga Mac 2024 daripada 1682 jumlah keseluruhan premis makanan. Dalam pemeriksaan berkenaan, sebanyak 177 (35%) premis makanan telah mendapat Gred A, manakala 324 (64%) dan 5 (1%) premis makanan mendapat Gred B dan C masing-masing.