GARIS PANDUAN PENGENDALIAN MAKANAN
 
A. TUJUAN
 
  1. Memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada pengusaha makanan berkenaan pengendalian makanan yang betul.
  2. Mencegah dan mengawal penyakit bawaan makanan seperti taun, keracunan makanan dan sebagainya.
  3. Meningkatkan tahap keselamatan dan mutu makanan yang dijual oleh peniaga.
  4. Menarik lebih ramai pelanggan untuk mengunjungi premis makanan dan meningkatkan imej Bandaraya.
B. PENGENDALI MAKANAN
 
  1. Pengendali makanan hendaklah menjalani pemeriksaan kesihatan dan disahkan sihat oleh doktor untuk mengendalikan makanan
  2. Menghadiri Kursus Pengendali Makanan yang dianjurkan oleh DBKK atau institusi latihan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
  3. Memakai apron dan tutup kepala semasa mengendalikan makanan iaitu ketika menyedia, memasak dan menghidangkan makanan.
  4. Mengelakkan tabiat buruk yang boleh mencemarkan makanan seperti merokok, bersin, batuk dan lain-lain.
C. PENYEDIAAN MAKANAN
 
  1. Tempat penyediaan bahan mentah untuk dimasak mestilah mudah dibersihkan, kalis air dan mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya 0.5 meter daripada lantai.
  2. Papan pemotong hendaklah disediakan berasingan khas untuk makanan mentah dan makanan yang telah dimasak. Contohnya:
2.1    Buah sayur mentah
2.2    Daging mentah
2.3    Ikan / makanan laut mentah
2.4    Daging masak
 
  1. Papan pemotong mestilah sentiasa bersih dan permukaannya tidak terdapat celah-celah lekuk yang dapat menyimpan sisa makanan.
  2. Peralatan mestilah mudah dibersihkan, tahan karat dan dalam keadaan yang baik (misalnya pinggan / cawan sumbing adalah tidak dibenarkan)
  3. Peralatan mestilah disusun dengan teratur dan peralatan yang tidak digunakan hendaklah dikeluarkan daripada kawasan premis perniagaan.
  4. Makanan hendaklah dimasak dengan sempurna.
  5. Air perlu dimasak sehingga mendidih.
  6. Makanan hanya boleh dipanaskan semula tidak lebih dari sekali.
  7. Kiub ais untuk membuat minuman/makanan hendaklah diperolehi daripada pembekal yang diiktiraf dan disimpan dalam bekas/plastik yang sesuai.
D. PENYIMPANAN MAKANAN
 
  1. Makanan yang telah dimasak mestilah disimpan berasingan daripada bahan mentah
  2. Makanan hendaklah disimpan di bekas yang bersih dan bertutup.
2.1    Gunakan penutup bekas lutsinar sekiranya inginkan pelanggan melihat makanan yang telah disediakan.

ATAU
 

2.2    Gunakan tempat penyimpanan yang sesuai dan boleh ditutup rapat. Contohnya: tempat yang diperbuat daripada kaca. Elakkan menggunakan jaring (seperti yang digunakan untuk menghalang nyamuk) kerana ia sukar untuk dibersihkan dan habuk dapat menembusi liang-liang jaring.
 
  1. Tidak menggunakan jari semasa mengendalikan makanan yang telah dimasak. Gunakan sudu/penyepit.
  2. Gunakan plastik tanpa warna untuk membungkus makanan. Sebarang kertas tidak dibenarkan untuk menyentuh makanan yang telah dibungkus (kecuali kertas yang disalut lilin/wax, khas untuk membungkus makanan). Sebarang logam, contohnya dawai kokot/stapler tidak dibenarkan dalam membungkus makanan.
 
E. BEKALAN AIR DAN AGEN PEMBERSIH
 
  1. Bekalan air hendaklah diambil terus dari air paip yang dibekalkan oleh Jabatan Air Sabah. Sambungan hos getah adalah tidak dibenarkan.
Jika disahkan mempunyai bekalan air yang tidak tetap:
 
(A)    Bekalan air hendaklah disimpan dalam bekas yang bersih, sesuai, bertutup dan tidak mudah berkarat, sama ada diperbuat daripada keluli tahan karat atau plastik.
(B)    Air hendaklah diperolehi daripada air paip yang dibekalkan oleh Jabatan Air Sabah dan kuantiti yang disimpan hendaklah mencukupi untuk tujuan membasuh tangan dan pinggan mangkuk.
 
  1. Bekalan air seharusnya bersih, tidak mempunyai bau serta tidak mempunyai sebarang bendasing atau mendakan di dalamnya.
  2. Sabun yang sesuai untuk membasuh/membersihkan tangan dan peralatan hendaklah disediakan.
F. PELUPUSAN SAMPAH
 
  1. Tong sampah hendaklah disediakan dengan secukupnya, lengkap dengan beg plastik dan penutup yang sempurna.
  2. Pastikan tong sampah ditutup setiap masa.
  3. Sisa makanan dikumpulkan dalam bekas yang sesuai dan dilupuskan dengan sempurna. Sisa makanan yang basah atau cecair hendaklah terlebih dahulu dimasukkan dalam bet plastik dan diikat sebelum dimasukkan dalam tong sampah. Jika amaunnya banyak ia harus dilupuskan secara berasingan dan tidak boleh dicampurkan dengan sisa domestik.
  4. Perangkap lemak (Grease Trap)
4.1   Cara penjagaan

Bersihkan setiap hari / mengikut keperluan dengan
(a)     Membuang sisa makanan yang terperangkap ke dalam beg plastik
(b)     Mencedok (scoop) minyak yang terapung-apung di dalam grease trap
 
4.2   Cara mengetahui perangkap lemak anda berfungsi dengan baik
(a)     Dapat memisahkan air dan minyak
(b)     Tidak melimpah / tidak tersumbat
(c)     Tiada kacauganggu bau yang wujud

G. PENGANGKUTAN MAKANAN TELAH DIMASAK (Jika Berkaitan)
 
  1. Makanan sedia dimakan perlu ditutup dan disimpan dalam bekas yang bersih.
  2. Sebarang kenderaan yang digunakan untuk mengangkut makanan perlulah bersih, berkeadaan baik, sesuai untuk mengangkut makanan tersebut dan mempunyai kemudahan untuk melindungi makanan daripada pencemaran alam sekitar.
  3. Makanan sedia dimakan dan minuman tidak seharusnya diangkut bersama dengan bahan mentah dan bahan kimia / toksin kerana ini boleh menyebabkan pencemaran silang.
NOTA:
 
Sekiranya makanan disediakan di rumah / tempat selain daripada tempat berniaga, pihak DBKK berhak untuk memeriksa tempat penyediaan makanan berkenaan sama ada memenuhi garis panduan yang dinyatakan di atas.