Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Gereja-Gereja Manggatal (MGGM) sekali lagi bekerjasama menganjurkan Perayaan Krismas Manggatal pada 8 hingga 10 Disember 2017, bertempat di Dewan Masyarakat Manggatal dan Padang Bola Sepak di Pekan Manggatal.

Pelbagai acara menarik disediakan termasuklah persembahan pentas daripada pelbagai gereja di sekitar Manggatal serta hiasan Krismas yang bakal menerangi Pekan Manggatal. Persembahan khas pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Sabah daripada Timor-Leste bakal menyerikan acara Majlis Perasmian dan Penutupan Perayaan Krismas ini.

 

Majlis Perasmian Pembukaan Perayaan Krismas akan disempurnakan oleh Datuk Yeo Boon Hai, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu pada 8 Disember 2017, bermula jam 6.00 petang. Manakala, Majlis Perasmian Penutupan pula akan disempurnakan oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 10 Disember 2017 bermula jam 8.00 pagi.

Seperti tahun-tahun yang lepas, matlamat utama penganjuran Perayaan Krismas ini adalah untuk memeriahkan lagi sambutan Krismas di kalangan umat Kristian di kawasan Manggatal, mengeratkan keharmonian dan persefahaman di kalangan masyarakat Manggatal serta seluruh rakyat Sabah.

Perayaan ini juga bertujuan untuk mempromosikan Pekan Manggatal di mata masyarakat serta pelancong luar mahupun tempatan dari luar kawasan Manggatal. Tema pada tahun ini, “Krismas ada kerana Yesus”, menekankan akan penghayatan makna Krismas di kalangan umat Kristian serta menyuburkan lagi sikap toleransi, kesefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di Sabah.

Perayaan kali yang keenam ini menampilkan dua kelainan besar berbanding perayaan-perayaan yang lepas. Buat julung kalinya Sukan Rakyat akan diadakan sempena Perayaan Krismas Manggatal ini pada 9 Disember 2017, bermula jam 7.00 pagi hingga jam 4.00 petang bertempat di Padang Bola Sepak Pekan Manggatal.

Matlamat utama Sukan Rakyat ini adalah untuk memeriahkan sambutan Krismas Manggatal di samping mengeratkan keharmonian, semangat kekeluargan dan kerjasama di kalangan masyarakat, serta merapatkan hubungan antara masyarakat dan pihak berkuasa tempatan.

Pelbagai acara disediakan termasuklah boling dan kupas kelapa, lari dalam karung, lompat dan sambut telur, tarik tali, dan banyak lagi. Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai. Hadiah hamper turut disediakan kepada para pemenang. Sukan Rakyat ini akan dirasmikan oleh YB Datuk Jumat H jIdris, Ahli Parlimen Sepanggar pada jam 9.00 pagi.
Manakala pada sebelah malam 9 Disember pula akan berlangsungnya Konsert Mega Krismas Manggatal bertempat di Dewan Masyarakat Manggatal, bermula jam 6.30 malam. Konsert ini akan menampilkan artis-artis popular seperti Felix Agus, Velvet, Nera, DJ Othoe, Bobb, Welson, Gedion, dan ramai lagi. Semua dijemput hadir dan masuk adalah percuma.
Bagi sebarang pertanyaan, hubungi Dr. Jidon Adrian Janaun, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana Perayaan Krismas Manggatal di nombor 017-8330411 ataupun emel di This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..