Apa itu kebenaran merancang.
 
Menurut Ordinan Perancangan Bandar dan Desa (Sabah Cap 141), apabila seseorang itu ingin menjalankan apa-apa pemajuan, ia perlu memperolehi kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan. Kebenaran merancang memberi seseorang itu kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan yang bertindak sebagai pihak berkuasa kawalan pemajuan, untuk menjalankan sesuatu pemajuan mengikut pelan dan syarat-syarat kebenaran yang akan menentukan, di antara lainya, penjajaran yang dicadangkan, lebar dan aras jalan dan lorong belakang, ketinggian, bentuk ciri-ciri, jenis ruang lantai, kegunaan, bilangan dan ketumpatan unit kediaman, saiz unit, nisbah plot dan kesesuaian bangunan yang dicadangkan, penyediaan kegunaan tanah yang dicadangkan dan pembentungan, kawasan lapang rekreasi, balai rakyat, sekolah dan kemudahan lain yang mana perlu dan syarat-syarat lain.
 
Mengapa kebenaran merancang diperlukan.
 
Menurut Ordinan Perancangan Bandar dan Desa (Sabah Cap 141), pihak berkuasa tempatan adalah diberi kuasa untuk mengatur, mengawal dan merancang pemajuan serta penggunaan semua tanah dan bangunan yang terletak di dalam kawasan bidang kuasanya. Ini adalah untuk memastikan supaya semua pemajuan dan penggunaan tanah oleh seseorang individu dan para pemaju akan dijalankan dalam keadaan yang teratur dan tidak menyebabkan masalah pencemaran dan kacau ganggu, kesesakan lalulintas dan tambahan beban infrastruktur, kehilangan nilai/kemudahan, banjir dan kesan lain yang tidak diingini terhadap kawasan berdekatan dan persekitaran serta juga memastikan pemajuan baru berada pada tahap yang baik untuk didiami. Sebelum kebenaran merancang diberi kepada sesuatu cadangan pemajuan, pihak berkuasa tempatan harus mengambil kira semua perkara yang perlu untuk perancangan yang berkesan.
 
Ini adalah untuk memastikan pemajuan yang dicadangkan tidak menyebabkan masalah persekitaran yang tidak diingini, termasuk kesan sosial dan ekonomi, seterusnya mematuhi piawaian dan garis panduan perancangan. Khususnya pihak berkuasa tempatan perlu mengambilkira peruntukan-peruntukan Rancangan Struktur dan Rancangan-Rancangan Tempatan yang telah disediakan, sedang disediakan atau akan disediakan. Pihak Berkuasa Tempatan perlu juga menyemak agar pemajuan yang dicadangkan mempunyai laluan masuk yang baik dan mematuhi semua syarat dan batasan hak milik tanah selain daripada kehendak undang-undang yang lain.
 
Bila kebenaran merancang diperlukan
 
Anda perlu memohon dan diberi kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Tempatan sebelum anda boleh menjalankan tugas apa-apa “pemajuan”. Definisi “pemajuan” mengikut Ordinan Perancangan Bandar dan Desa adalah luas dan meliputi:
 
  1. Perobohan bangunan
  2. Pembinaan bangunan
  3. Pindaan besar terhadap bangunan
  4. Perubahan utama dalam penggunaan tanah atau bangunan
  5. Kerja-kerja kejuruteraan, termasuk pembentukan tanah dan pembinaan jalan
  6. Kerja-kerja perlombongan
  7. Kerja-kerja perindustrian
  8. Memecah sempadan dan pencantuman tanah.
 
Dalam kes-kes tertentu yang mungkin tidak begitu jelas, anda adalah dinasihatkan supaya menghubungi Jabatan Perancangan Bandaraya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu sebelum menjalankan apa-apa pemajuan/perubahan.

Bagaimana untuk mendapatkan kebenaran merancang.
 
Anda perlu mengemukakan permohonan kebenaran merancang mengikut cara yang ditentukan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa, Kaedah-kaedah Pengawalan Perancangan (AM) 1995, yang mana perlu disertakan bersama-sama dengan:-
 
  1. Borang Kebenaran Merancang
  2. Pelan/Lokasi Tapak
  3. Dokumen hak milik tanah yang sah/alamat pemilik-pemilik tanah
  4. 16 salinan Laporan/Cadangan Pemajuan
 
Pelan Permohonan hendaklah dikemukakan ke Jabatan Perancangan Bandaraya, Tingkat 3, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu. Jabatan ini akan membantu anda sekiranya anda mempunyai apa-apa pertanyaan.

Andaakan diberitahu tentang pindaan/pembetulan (jika ada) yang perlu dibuat terhadap dokumen dan pelan sebelum permohonan anda dibentangkan untuk pertimbangan. Jika permohonan tidak dikembalikan dalam tempoh 1 bulan, ia dianggap sebagai ditarik balik. Setelah permohonan anda diluluskan, anda akan diberi Kebenaran Merancang.
 
Seseorang yang terkilan dengan penolakan permohonan kebenaran merancang atau syarat yang dikenakan dalam memberikan kebenaran merancang boleh merayu kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
 
Mengapa ejen diperlukan
 
Anda dinasihatkan supaya mendapatkan khidmat daripada seseorang ejen yang biasanya merupakan seorang perancang bandar atau arkitek untuk mengemukakan permohonan kebenaran merancang, terutamanya apabila anda ingin menjalankan pemajuan yang besar. Ejen anda harus mampu menasihat anda bukan sahaja dari segi proses permohonan kebenaran merancang, tetapi yang lebih penting adalah dari segi pemilihan pelbagai pemajuan tanah alternatif dan membolehkan anda membuat keputusan tentang alternatif yang paling baik serta membantu anda dalam memastikan semua kelulusan yang diperlukan di bawah peruntukan undang-undang yang lain seperti Ordinan Tanah Cap 68, Ordinan Perolehan Tanah Cap 69, Undang-undang Kecil (Bangunan) 1951, serta pelbagai undang-undang yang lain diperolehi sebelum anda memulakan pemajuan.
 
Berapa lamakah tempoh sah kebenaran merancang
 
Sesuatu kebenaran merancang jika tidak dilanjutkan akan luput dalam tempoh kurang dari 12 bulan. Sekiranya dalam masa tersebut, pemajuan masih belum dimulakan, anda boleh mendapatkan perlanjutan atau perlanjutan tambahan kepada kebenaran merancang dengan mengemukakan permohonan perlanjutan sebelum luputnya kebenaran merancang.
 
Apakah yang harus dilakukan selepas memperolehi kebenaran merancang
 
Anda tidak boleh memulakan pemajuan dengan serta-merta selepas mendapatkan kebenaran merancang kerana anda masih memerlukan kelulusan yang lain seperti:-
 
  • Pelan Pecah Sempadan (jika perlu) 
  • Pelan Bangunan dan permit untuk memulakan kerja pembinaan dan bangunan di bawah Undang-Undang Kecil (Bangunan), 1951 
  • Pelan kerja tanah 
  • Pelan jalan dan parit untuk pembinaan jalan dan parit 
  • Pelan pembentungan 
  • Pelan lanskap 
  • Lesen untuk perindustrian, perdagangan, premis makanan dan lain-lain untuk memulakan aktiviti
 
Anda bolelah menghubungi ejen anda untuk perkara-perkara tersebut.
 
Apakah Denda yang dikenakan bagi pemajuan tanpa kebenaran merancang
 
Mengikut Seksyen 23 (Bahagian IV) Ordinan Perancang Bandar dan Desa, anda boleh didenda sehingga RM500.00 sekiranya disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan sekiranya kesalahan itu diteruskan, denda tambahan sehingga RM50.00 setiap hari berikutnya akan dikenakan. Anda juga mungkin diminta untuk memulihkan tanah sejauh yang boleh kepada yang asal sebelum pemajuan.