Date/ Time: 21st August 2014, Thursday
Current Weather: Light Rain,  Temp: 24°C,  Wind: 0km/h
DBKK News
18-05-2005
Operasi Laluan Bas Mini

18 Mei 2005, Kota Kinabalu : Sekali lagi Operasi Laluan Bas Mini telah dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dengan kerjasama pihak Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Puspakom dan Unit Pengangkutan Awam pagi ini. Operasi yang telah dijalankan selama 3 jam ini adalah bertujuan untuk memantau atau memastikan pemandu-pemandu bas mini menggunakan laluan yang yang telah ditetapkan mengikut sistem laluan dan sistem nombor yang diperkenalkan sejak Terminal Bas Wawasan memulakan operasi tahun lalu.

Penyelaras utama operasi ini adalah pihak DBKK sendiri yang diketuai oleh Encik Jaine Wajiman, Jurutera Bandaraya DBKK, dibantu oleh C/insp. Ramli Mohammad (Polis), Tuan Joharin Adimin (LPKP), Tuan PPP. Mohd Ammir Wahid (JPJ) dan Encik Wasly Bin Lakat (Unit Pengangkutan Awam). Operasi ini telah disertai oleh seramai 8 orang Penguatkuasa DBKK, 9 orang pegawai polis , 2 orang pegawai dari LPKP, 8 orang pegawai JPJ, 2 orang pegawai dari Unit Pengangkutan Awam, dan seorang pegawai daripada PUSPAKOM.

Hasil daripada operasi tersebut, Saman Polis Trafik dan JPJ telah dikeluarkan dengan bilangan masing-masing sebanyak 22 keping dan 6 keping. Manakala pihak LPKP telah menyita sebanyak 33 keping dokumen daripada pemandu dan pengusaha bas mini atas sebab disyaki menyalahi pelbagai jenis undang-undang dan peraturan. Pihak LPKP terpaksa menyita dokumen-dokumen tersebut agar penyiasatan lanjut dapat dijalankan. Selain daripada itu juga, pihak polis telah menahan seorang pemandu bas atas kesalahan menghalang pihak polis menjalankan tugas.

Pengeluaran saman-saman tersebut adalah mengikut Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (LPKP) Seksyen 19 yang melibatkan syarat-syarat permit. Pemandu-pemandu bas mini yang didapati melanggar syarat-syarat permit seperti beroperasi diluar kawasan dan tidak mengikut laluan yang dibenarkan akan dikenakan bayaran saman sebanyak RM 300.00. Sekiranya pemandu-pemandu bas mini gagal membuat pembayaran sebelum tarikh mahkamah yang tertera dalam surat saman mereka, kes mereka boleh dibawa ke mahkamah. Sekiranya disabit kesalahan, pemandu-pemandu bas tersebut boleh dikenakan denda sebanyak RM 1,000.00 sebagai bayaran minimum dan RM 10,000.00 sebagai bayaran maksimun atau penjara 1 tahun atau kedua-duanya sekali

Selain daripada pemantauan yang dilakukan ke atas bas-bas mini, operasi ini juga memberi tumpuan kepada teksi-teksi yang beroperasi di kawasan bandaraya dimana pemandu-pemandu teksi telah dinasihatkan agar menggunakan meter dan memakai pakaian yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Menurut Tuan Joharin Adimin daripada LPKP, penggunaan meter telah diwartakan pada 16 Disember 2004 dan peraturan ini telah ditetapkan mengikut Kaedah 16 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pengangkutan Perdagangan 1959). Tambah beliau lagi, pemandu-pemandu teksi telah diwajibkan untuk memakai kemeja putih, seluar berwarna gelap serta memakai sepatu dan peraturan ini telah ditetapkan mengikut Kaedah 11B Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pengangkutan Perdagangan 1959) (Pindaan 1997).

C/insp. Ramli Mohamad, menasihatkan para pemandu dan pengusaha bas agar menggunakan laluan yang telah ditetapkan dan sistem nombor yang diamalkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan ke atas mereka. Beliau memberi amaran keras kepada pemandu dan pengusaha bas bahawa pihak polis tidak akan berkompromi tentang tindakan yang akan diambil kerana masalah ini telah berlarutan terlalu lama, dimana ramai daripada pemandu serta pengusaha bas tidak mengendahkan arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Encik Joharin Adimin selaku ketua anggota LPKP menasihatkan pengusaha dan juga pemandu bas mini agar membuat penukaran permit-permit mereka sekiranya mereka masih menggunakan permit yang lama. Pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu akan meneruskan operasi ini sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan untuk memastikan undang-undang dipatuhi oleh pihak pengusaha bas mini dan juga pemandunya.

Left Back
Search DBKK Website:
Newsletter Sign Up
Receive information on the latest Event and happening here!
Look Up