Date/ Time: 23rd April 2014, Wednesday
Current Weather: Mostly Cloudy,  Temp: 28°C,  Wind: 4.83km/h
DBKK News
19-05-2005
Operasi Laluan Bas Mini Diteruskan

19 Mei 2005, Kota Kinabalu : Operasi Laluan Bas Mini telah diteruskan oleh pihak DBKK dengan kerjasama pihak Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Puspakom dan Unit Pengangkutan Awam pagi ini. Operasi ini juga telah dijalankan selama 3 jam dengan tujuan untuk memantau dan memastikan pemandu – pemandu bas mini menggunakan laluan yang telah ditetapkan mengikut sistem laluan dan sistem nombor yang diperkenalkan sejak Terminal Bas Wawasan memulakan operasi tahun lalu. Selain dari itu juga, pemantauan dilakukan ke atas teksi – teksi yang beroperasi di bandaraya ini untuk memastikan penggunaan sistem bermeter dipraktikkan oleh pemandu -pemandu teksi tersebut.

Hasil daripada operasi pada hari ini, Polis trafik telah mengeluarkan sebanyak 23 keping saman, JPJ mengeluarkan 8 keping saman, manakala LPKP telah menahan 35 keping permit bas serta menahan sebuah bas mini kerana menggunakan permit LKM yang tamat tempoh.

Saman – saman yang dikeluarkan adalah atas sebab kesalahan – kesalahan seperti, melanggar syarat permit, tidak mengikut laluan jalan yang ditetapkan, teksi tidak menggunakan meter tambang, LKM telah tamat tempoh dan tidak membawa permit. Pengeluaran saman – saman tersebut adalah mengikut Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (LPKP) Seksyen 19 yang melibatkan syarat – syarat permit. Pemandu – pemandu bas mini yang didapati melanggar syarat – syarat permit seperti beroperasi diluar kawasan dan tidak mengikut laluan yang dibenarkan akan dikenakan bayaran saman sebanyak RM 300.00. Sekiranya pemandu – pemandu bas mini gagal membuat pembayaran sebelum tarikh mahkamah yang tertera dalam surat saman mereka, kes mereka boleh dibawa ke mahkamah. Sekiranya disabit kesalahan, pemandu – pemandu bas tersebut boleh dikenakan denda sebanyak RM 1,000.00 sebagai bayaran maksimum atau penjara 1 tahun atau kedua – duanya sekali.

Penyelaras utama operasi ini adalah pihak DBKK sendiri yang diketuai oleh Encik Jaine Wajiman, Jurutera Trafik, Jabatan Perancang Bandaraya DBKK, dibantu oleh C/insp. Ramli Mohammad (Polis), Tuan Joharin Adimin (LPKP), Tuan PPP. Mohd Ammir Wahid (JPJ) dan Encik Wasly Bin Lakat (Unit Pengangkutan Awam). Operasi ini telah disertai oleh seramai 8 orang Penguatkuasa DBKK 9 orang pegawai polis, 2 orang pegawai dari LPKP, 8 orang pegawai JPJ, 2 orang pegawai dari Unit Pengangkutan Awam, dan seorang pegawai masing – masing daripada PUSPAKOM dan Jabatan Perancangan Bandaraya DBKK.

Selain daripada itu juga, pemandu – pemandu teksi sekali lagi diberi nasihat agar mematuhi arahan penggunaan meter yang telah diwartakan pada 16 Disember 2004 dan peraturan ini telah ditetapkan mengikut Kaedah 16 Kaedah – Kaedah Kenderaan Motor (Pengangkutan Perdagangan 1959). Pemandu – pemandu teksi juga diwajibkan untuk memakai kemeja putih, seluar berwarna gelap serta memakai sepatu dan peraturan ini telah ditetapkan mengikut Kaedah 11B Kaedah – Kaedah Kenderaan Motor (Pengangkutan Perdagangan 1959) (Pindaan 1997). Para penumpang teksi juga dinasihatkan agar tidak menggunakan teksi yang tidak menggunakan meter tambang.

Sekali lagi pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu memaklumkan kepada orang ramai bahawa DBKK akan menjalankan operasi seperti ini secara berterusan dan memohon agar pemandu dan pengusaha bas serta pemandu teksi bandaraya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan kerana sekiranya peraturan tersebut tidak dipatuhi, DBKK dan pihak – pihak berkuasa yang berkaitan tidak akan teragak – agak mengambil tindakan yang sepatutnya.

Left Back
Search DBKK Website:
Newsletter Sign Up
Receive information on the latest Event and happening here!
Look Up