Local Agenda 21 Kota Kinabalu, Bersama-sama Ke arah Pembangunan Mampan

Agenda 21 adalah Pelan Tindakan Global Ke Arah Pembangunan Mapan Untuk Abad Ke-21. Ia dihasilkan melalui deklarasi Earth Summit di Rio De Janeiro, Brazil pada tahun 1992 yang dihadiri oleh 178 buah negara termasuk Malaysia. Pelan Tindakan Global mengandungi 40 bab yang menghuraikan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan ke arah pembangunan mampan.
LOCAL AGENDA 21 (LA21)
Bab 28 dalam Agenda 21 menekankan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam melaksanakan pembangunan mapan di peringkat tempatan menerusi Program LA21. Dari itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dalam bengkel LA21 pada 30 April 2003 telah mengisytiharkan penekanan pembangunan mapan bagi Bandaraya Kota Kinabalu. LA21 merupakan suatu program yang melibatkan perkongsian pintar antara tiga pihak, iaitu PBT, masyarakat dan sektor swasta yang berkerjasama untuk merancang dan menguruskan kawasan persekitaran ke arah pembangunan mampan dan peningkatan kualiti hidup.
PRINSIP-PRINSIP LA21
Penyertaan dan Ketelusan
Ia melibatkan penyertaan masyarakat tempatan dan sektor swasta serta agensi kerajaan. Maklumat mengenai pembangunan mapan mestilah telus dan mudah diperolehi oleh masyarakat tempatan.
Usahasama
Wujudnya usahasama dan tanggungjawab bersama antara semua pihak berkepentingan (stakeholders) di semua peringkat.
Kebertanggungjawaban
Memastikan bahawa semua rakan usahasama bertanggungjawab kepada keputusan dan tindakan yang diambil.
Pendekatan Menyeluruh
Menangani punca-punca masalah sosial, ekonomi dan alam sekitar secara bersepadu dan merangkumi seluruh masyarakat tempatan.
Peka Terhadap Alam Sekitar
Memastikan corak hidup dan pembangunan selaras dengan keadaan alam sekitar.
Kesaksamaan
Mengambilkira semua lapisan masyarakat tempatan tanpa membezakan kaum,usia,status sosio-ekonomi dan latar belakang mereka.
Mementingkan Masa Hadapan
Memastikan kepentingan masa kini dan masa hadapan diambilkira dalam semua peringkat perancangan ataupun pelaksanaan.
Hasil Yang Nyata
Membuahkan hasil yang nyata supaya faedahnya dapat dilihat dengan jelas bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat tempatan.